Bismillahhirrahmanirrahim.. dengan menyebut nama Allah yang
Maha Berkuasa Ke Atas Alam Semesta, bahawa dengan susungguhnya luahan hati ini
aku lakukan semata-mata kerana Allah, dan Dia jualah yang mengetahui apa yang
tersirat dalam hati..
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui, dan tiada
satu pun yang berlaku diluar ilmu Mu
Ya Allah, aku tertekan dengan
kehidupanku, semuanya stress dan tidak mampu ku urus, aku bimbang dengan rezeki
ku, kerana banyak yang aku perolehi dengan cara duduk di pejabat pada setiap
waktu, dan ada diantara amanah yang tidak ku lakukan, dan sesungguhnya terlalu
banyak peralatan dan masa pejabat yang aku lakukan untuk kepentingan diriku
sendiri,
Kerana itu Ya Allah, Aku mohon dan meminta kepadaMu, dengan
segenap permohonan dan seikhlas hatiku, tunjukkanlah aku pekerjaan dan mata
pencarian yang boleh membantu ekonomi rumahtanggaku, yang bersesuaian dengan
bakatku, yang menghindarkan aku daripada melakukan perkara-perkara dosa
termasuklah lalai, pecah amanah dan mendapat rezeki yang haram dan tiada
berkat. Kurniakanlah aku rezeki yang tiada putusnya, dengan limpahan yang penuh
barakah, agar aku dapat membesarkan mental fizikal emosional dan spiritual
anak-anakku dengan rezeki yang halal,
Ya Allah.. aku memohon punca pendapatan yang memberikan aku masa
mendidik dan menjaga anak-anakku tanpa tekanan dan penderaan emosi, aku merayu
punca pendapatan yang membolehkan aku berbakti dan membantu golongan
orang-orang yang tidak berkemampuan, tunjukkanlah aku punca pendapatan yang
mendekatkan aku kepadaMu, dan memberi aku masa untuk belajar dan menimba ilmu
agama, serta menjauhkan aku daripada stress melampau yang menjejaskan
hubunganku dengan anak-anakku, suami ku dan masyarakat di sekelilingku.
Ya Allah ya Tuhanku, kepadaMu aku mengharap, bantulah aku
dan ahli keluarga ku terutamanya suamiku untuk keluar dari lingkungan dosa-dosa
riba, bantu kami melunaskan hutang piutang, dan permudahkanlah ianya kepada
kami.
Ya Allah.. tiada Tuhan melainkan Engkau, yang memegang
ubun-ubun setiap hambaMu di muka bumi ini, kepada Mu aku mengharap, kepadaMu
aku mohon pertolongan. Berikan aku jiwa dan minat yang mendalam serta usaha
yang bersungguh-sungguh untuk merealisasikan apa jua pekerjaan dan usaha yang
Engkau takdirkan buatku, permudahkanlah ianya bagiku dan limpahkan keredhaan Mu
kepadaku dan ahli keluargaku di
dalamnya.. hilangkan lah dukacita dan stress dalam setiap perkara yang telah
engkau tentukan buatku, dan jauhkan lah aku dari sifat orang-orang yang kikir,
malas, zalim, ujub, riak dan melampaui batas erta sifat-sifat mazmumah yang
lain.
Amin ya Rabbil Alamin